fb fb fb fb fb

ACSL dijangka tiru format Liga Juara-Juara AFC

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 September – Liga Sepak Takraw Kelab Asia (ACSL) yang dijangka bermula seawal 2026 atau 2027 berpotensi diperkenalkan dengan format mirip Liga Juara-Juara AFC (ACL) bagi menarik minat lebih luas dalam kalangan peminat sukan tersebut.

Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader berkata, liga berprestij itu berkemungkinan menampilkan dua divisyen, seakan-akan ACL Elit dan ACL Dua

Menurutnya, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan selama sejam bersama Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John, di Rumah AFC, Bukit Jalil, baru-baru ini.

“Windsor memberikan sokongan padu serta nasihat berharga mengenai format pertandingan, pemilihan kelab, pelesenan, pendaftaran pemain, strategi penajaan selain integrasi sains sukan dan teknologi sukan,” katanya dalam kenyataan ASTAF hari ini.

Abdul Halim turut memaklumkan, pertemuan itu turut menyentuh mengenai struktur pertandingan, aspek tadbir urus serta amalan terbaik dalam pengurusan sukan.

Beliau menambah, hasil perbincangan tersebut ASTAF memperoleh input baharu dan pandangan strategik untuk memperkukuh gerakan badan induk itu sekali gus melonjakkan sukan sepak takraw ke peringkat global.

“ASTAF memilih untuk merujuk AFC kerana mereka diiktiraf sebagai model tadbir urus bertaraf dunia dan organisasi yang mencapai kecemerlangan sukan.

"Oleh itu, ASTAF bertekad mengadaptasi strategi sama dalam memacu pembangunan, profesionalisme dan pengiktirafan antarabangsa sepak takraw,” katanya.

Abdul Halim turut memaklumkan ASTAF akan mengadakan pertemuan susulan dengan AFC bersama kumpulan khas penyelidik teknikal bagi memperkukuh lagi kerjasama kedua-dua pihak.

Untuk rekod, ACSL dijangka menghimpunkan kelab terbaik dari lapan hingga 10 negara anggota ASTAF.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD