
KUALA LUMPUR, 7 April– Kelewatan menyesuaikan diri dengan rentak pertandingan hampir memakan diri apabila pasukan Perak terpaksa bekerja keras sebelum mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Sabah dalam aksi pembukaan Kejohanan Piala Emas Khir Johari di Kompleks Sukan Jalan Raja Muda, hari ini.
- Regu pertama Perak kelihatan hilang punca pada set permulaan.
- Penggantian Muhammad Noraizat Nordin berjaya merangkul mata pertama sebelum Sabah menyamakan melalui regu kedua.
- Kemenangan akhirnya disahkan oleh regu ketiga yang dibarisi Yus Hanif, Madzrul Aziq dan Syafiq Mustakim.
- Pengurus Ahmad Shahrir Shafiae mengakui pemain muda kurang pengalaman; kehadiran Aizat, Yus Hanif dan Asyraaf Hadi ubah rentak dan beri kesan psikologi.
Aksi sulung di kompleks tersebut menyaksikan regu pertama Perak seolah-olah hilang punca pada set permulaan.
Bagaimanapun, percaturan memasukkan Muhammad Noraizat Nordin bagi menggantikan Muhammad Nazrien Daniel Mohd Kamal Mustafa membuahkan hasil apabila mereka berjaya merangkul mata pertama, sebelum Sabah kembali menyamakan kedudukan menerusi regu kedua.
Kemenangan Perak akhirnya disahkan oleh regu ketiga yang dibarisi Yus Hanif Rosli, Madzrul Aziq Mat Tahir dan Syafiq Mustakim Mad Saat.
Pengurus pasukan, Ahmad Shahrir Shafiae mengakui permulaan pasukan agak perlahan dan menyifatkan regu muda mereka masih kurang berpengalaman untuk beraksi di pentas besar sehingga sukar menyesuaikan diri dalam tekanan perlawanan.
“Kehadiran pemain senior seperti Aizat, Yus Hanif dan Asyraaf Hadi merupakan tonggak utama buat Perak Bison kerana mereka mampu mengubah rentak permainan dalam sekelip mata.”
“Jika dilihat pada regu pertama tadi, permainan agak perlahan apabila kita menurunkan Nazrien Daniel. Bagaimanapun, kemasukan Aizat bukan sahaja membantu dari segi kemampuan teknikal, malah secara tidak langsung memberi kesan psikologi yang mempengaruhi rentak pihak lawan,” katanya ketika ditemui RTM.
Dalam perkembangan lain, dua lagi perlawanan yang berlangsung sebelah pagi menyaksikan MARA menewaskan KPT-Masum 2-1 manakala Selangor mencatatkan kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Putrajaya.