fb fb fb fb fb

Tiket palsu cetus huru-hara, Liverpool gesa siasatan rasmi

(Reaksi sedih antara penyokong Liverpool yang gagal memasuki stadium pada aksi final
Liga Juara-Juara Eropah antara Liverpool menentang Real Madrid di Stade de France, Paris/FOTO REUTERS)

SAINT-DENIS, 29 Mei- Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata, keluarga skuad dan kakitangannya terperangkap dalam suasana huru-hara yang tercetus di luar Stade de France yang menyebabkan sepak mula perlawanan akhir Liga Juara-Juara terpaksa ditangguhkan hampir setengah jam.

Real Madrid memenangi perlawanan itu selepas menewaskan Liverpool 1-0 untuk menjulang Piala Eropah buat kali ke-14 namun malam itu akan diingati dengan adegan buruk di luar stadium.

Klopp berkata, peminat menjadi sasaran gas pemedih mata ketika polis cuba menyuraikan orang ramai yang kecewa kerana tidak dapat memasuki stadium.

"Saya belum dapat bercakap dengan keluarga saya lagi, tetapi saya tahu keluarga akan berjuang untuk memasuki stadium.

"Saya mendengar beberapa perkara yang tidak enak dan tidak bagus. Jelas sekali ia agak rumit di luar sana tetapi saya tidak tahu lebih lanjut mengenainya." kata Klopp

Sementara itu, dalam satu kenyataan Liverpool menggesa 'penyiasatan rasmi' terhadap kegagalan keselamatan dilakukan.

(Penyokong tersekat di pintu masuk sebelum aksi final Liga Juara-Juara Eropah antara Liverpool menentang Real Madrid di Stade de France, Paris/FOTO REUTERS)


"Ini adalah perlawanan terhebat dalam bola sepak Eropah dan penyokong tidak harus mempunyai pengalaman yang kita saksikannyanya malam ini," kata kenyataan kelab itu.

Sebaik aksi berlangsung, Liverpool gagal menamatkan musim yang menakjubkan apabila banyak peluang The Reds dinafikan oleh penjaga gol Madrid, Thibaut Courtois yang banyak menyelamatkan percubaan menakjubkan.

Vinicius Junior meledakkan gol tunggal perlawanan selepas pemain sayap Brazil itu menyambut hantaran lintang Fede Valverde.

 "Apabila penjaga gol menjadi pemain terbaik perlawanan maka ada sesuatu yang tidak kena untuk pasukan lain," kata Klopp.

"Kami mempunyai tiga peluang terbaik di mana Courtois berjaya melakukan penyelamatan yang luar biasa."

Di sebalik kekecewaan itu, Klopp menyeru penyokong Liverpool untuk turun ke jalan raya di bandar itu hari ini apabila mereka akan memperagakan Piala Liga dan Piala FA sebagai sokongan kepada kelab.-AFP

Media Baharu