ALOR SETAR, 3 Januari-Tiga pemain termasuk dua pemain import yang merupakan tonggak utama sah meninggalkan pasukan Kedah Darul Aman, KDA FC.
Sukhrob Nurulloev, Cleylton Santos dan Faiz Nasir menjadi pemain terbaharu mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan Sang Kenari selepas Sonny Norde, Fikri Che Soh dan penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz.
KDA FC dalam kenyataan berkata, pemilik, ahli lembaga pengarah, dan pengurusan Kedah Darul Aman FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Sukhrob Nurulloev, Cleylton Santos dan Faiz Nasir atas sumbangan dan dedikasi yang diberikan sepanjang bersama pasukan Sang Kenari.
"Kehadiran mereka telah memberikan impak besar di atas padang dengan ketangkasan serta komitmen yang tidak pernah berbelah bahagi.
"KDA FC berharap mereka terus maju dan mendoakan yang terbaik untuk mereka di pentas baharu", maklum kelab itu dalam kenyataan.
Tambah KDA FC, Sukhrob dan Cleylton telah mencapai persetujuan bersama bagi penamatan kontrak untuk mengembangkan karier di liga luar Malaysia.
Manakala Faiz Nasir pula telah tamat tempoh pinjaman.