fb fb fb fb fb

Terikat komitmen bersama kelab, Messi tidak hadir majlis anugerah Presidential Medal of Freedom

FOTO REUTERS

WASHINGTON, 5 Januari- Lionel Messi dianugerahkan Presidential Medal of Freedom, penghormatan tertinggi bagi orang awam di Amerika Syarikat, oleh Presiden Joe Biden pada Sabtu tetapi tidak menghadiri majlis itu di White House.

Penerima lapan kali anugerah Ballon d'Or itu kini bermain di Amerika Syarikat bersama kelab Major League Soccer, Inter Miami.

Messi menjadi rakyat Argentina pertama yang menerima penghormatan itu dan juga pemain bola sepak lelaki pertama.

Hanya Messi sahaja penerima yang tidak hadir, penerima lain seperti penyanyi U2 dan aktivis Bono, bekas bintang bola keranjang Earvin "Magic" Johnson dan bekas Setiausaha Negara Hillary Clinton menghadiri majlis tersebut.

Wakil Messi, dalam kenyataan yang diedarkan oleh Inter Miami, menyatakan bahawa Messi mempunyai komitmen lain yang telah dijadualkan lebih awal.

"White House memaklumkan FIFA, yang kemudian memaklumkan kelab pada penghujung Disember bahawa Leo akan diberikan pengiktirafan ini," menurut kenyataan itu.

"Leo, melalui kelab, menghantar surat kepada White House mengatakan bahawa beliau sangat berbesar hati dan menganggap ini satu keistimewaan besar untuk menerima penghargaan ini, tetapi disebabkan konflik jadual dan komitmen lain, beliau tidak dapat hadir.

"Beliau menghargai penghormatan ini dan menyatakan harapan untuk berpeluang bertemu pada masa hadapan," tambah kenyataan tersebut.

Penghargaan itu diberikan kepada individu yang telah membuat "sumbangan luar biasa kepada kemakmuran, nilai, atau keselamatan Amerika Syarikat, keamanan dunia, atau usaha masyarakat, awam atau swasta yang signifikan," menurut White House.

Kenyataan dari White House menyebut bahawa Messi dianugerahkan penghargaan tersebut sebagai "pemain paling banyak meraih gelaran dalam sejarah bola sepak profesional. Beliau menyokong program kesihatan dan pendidikan untuk kanak-kanak di seluruh dunia melalui Yayasan Leo Messi dan bertugas sebagai Duta Muhibah UNICEF."

Pada tahun 2022, Biden menganugerahkan bintang bola sepak wanita Amerika Syarikat, Megan Rapinoe, dengan medal berkenaan, menjadikannya pemain bola sepak pertama yang menerima penghormatan tersebut.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE