fb fb fb fb fb

Serie A: Napoli ungguli takhta liga

Foto REUTERS

FLORENCE, 5 Januari-Napoli memanfaatkan ketiadaan pesaing utama mereka dalam Serie A, Atlanta yang bersaing di Piala Super Itali dengan menewaskan Fiorentina 3-0 pada Sabtu untuk menduduki tangga teratas.

Pasukan bimbingan Antonio Conte itu kini tiga mata di hadapan Atalanta hasil jaringan David Neres pada minit ke-29, sepakan penalti Romelu Lukaku tidak lama selepas separuh masa pertama, dan penyudah oleh Scott McTominay pada minit ke-68.

Kemenangan berkenaan merupakan kemenangan keempat berturut-turut Napoli dalam saingan Serie A dan mengukuhkan lagi peluang untuk merangkul kejuaraan liga buat kali keempat selepas kegagalan mempertahankan Scudetto musim lalu.

"Kami bangga dengan apa yang telah kami capai, memiliki 44 mata selepas 19 perlawanan tidak dapat dibayangkan pada permulaan musim," kata penolong jurulatih Conte, Cristian Stellini kepada DAZN.

Bagaimanapun, Napoli telah bermain satu perlawanan lebih daripada Atalanta dan dua perlawanan berbanding juara bertahan Inter Milan, yang terlepas aksi liga hujung minggu ini kerana Piala Super.

Inter, yang ketinggalan empat mata di belakang Napoli, akan bertemu musuh setempat AC Milan dalam final Piala Super di Arab Saudi pada Isnin selepas menewaskan Atalanta di separuh akhir.

Atalanta akan melayani kunjungan Juventus pada 14 Januari, manakala Bologna akan melawat Inter sehari kemudian.

Fiorentina kini berada di tempat keenam dan ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu liga selepas kekalahan ketiga mereka dalam empat perlawanan.

Terdahulu, Venezia kekal di tangga kedua tercorot selepas terikat 1-1 di tempat sendiri dengan Empoli, manakala Verona yang bermain dengan 10 orang mengikat Udinese dengan keputusan seri tanpa jaringan dan berjaya menjarakkan diri, lima mata dari zon penyingkiran.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD