KUALA LUMPUR, 4 Julai- Tiga pemain, K. Joshua dari Kolej Sultan Abdul Hamid, Kedah; Teoh Min Yi dari SMK Batu 5 dan Lee Han Ning dari SJKC Chung Hwa meraih kejuaraan berganda dalam kategori masing-masing pada pusingan ketiga Kejohanan Badminton Remaja Allianz Dewan KBA, di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.
Selepas memenangi gelaran perseorangan Lelaki B-15, Joshua berganding dengan Chong Lee Qia dari SMJK Sin Min untuk merebut gelaran juara beregu lelaki. Min Yi pula memenangi acara perseorangan dan beregu perempuan B-15 manakala Han Ning memenangi acara serupa dalam kategori perempuan B-13.
Kategori B-11 yang baru diperkenalkan menyaksikan pasangan kembar bertembung di final sebelum E Xingnee dari SJKC Keat Hwa (H) menewaskan kembarnya dari sekolah sama, E Xingnian.
"Kami mempunyai ikatan yang sukar untuk digambarkan. Saya hanya tahu apa yang dia fikirkan dan begitu juga, dia juga tahu apa yang ada dalam fikiran saya," kata Xingnian.
Tambah Xingnee, "Kami berkongsi segala-galanya bersama-sama. Kami berada dalam kelas yang sama di sekolah dan kami juga berkongsi bilik di rumah. Kami akan merasakan sesuatu yang tidak kena jika kami tidak bersama".
Pasangan kembar berusia 11 tahun itu telah menjalani latihan dengan Tan Seng Hoe sejak dua tahun lalu. Seng Hoe ialah bapa kepada pemain beregu negara Pearly Tan.
Tahun lepas, lebih 2,500 pemain menyertai AJBC dan penyertaan dijangka meningkat kepada 3,000 tahun ini dalam 10 Pusingan Kelayakan.
Pusingan kelayakan diadakan di pelbagai venue di seluruh negara seperti Alor Setar, Cheras, Kuching, Kota Kinabalu, Kluang, Pengkalan Chepa, Bukit Beruang dan Kuantan.
Pusingan akhir AJBC, yang menampilkan finalis B-13 dan B-15 tahun daripada semua pusingan kelayakan, akan berlangsung di Stadium Juara di Bukit Kiara dari 20–25 November. Setiap pusingan akan menyaksikan 24 pemain layak ke pusingan akhir. Pemain B-11 pula tidak akan beraksi di pusingan akhir AJBC.
Tiga pemenang teratas pusingan kelayakan, untuk semua kategori umur, akan memperoleh RM500, RM300 dan RM150 (perseorangan) dan RM600, RM400 dan RM200 (beregu).
Pemain yang menamatkan saingan di tempat tiga terbaik di Grand Final akan memperoleh hadiah wang tunai RM1,000, RM600 dan RM300 (perseorangan) dan RM1,200, RM800 dan RM400 (beregu).