KUALA LUMPUR, 9 Disember- Atlet Muay Thai muda negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfika bermula dengan nota kecemerlangan dalam penampilan sulungnya di pertarungan Primetime US, ONE Championship, apabila mencatat kemenangan ketika berdepan juara Muay Thai Antarabangsa WBC, Edgar Tabares, sebentar tadi.
Lebih menarik, pada aksi yang berlangsung pukul 9 pagi waktu tempatan dalam pertarungan ONE Fight Night 17 di Stadium Tinju Lumpinee di Bangkok, Thailand itu Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo menumbangkan lawannya hanya dalam masa 36 saat menerusi knockout pada pusingan pertama.
Jojo yang mewakili Rentap MuayThai Gym, pada awalnya diasak di bahagian kaki sebelum melakukan lima serangan balas di muka dan badan Tabares dari pasukan Fighting Demons/Richard Cruz MuayThai.
Lawan berusia 29 tahun dari Mexico itu nyata tidak dapat menampung serangan dilakukan Jojo sehingga menyaksikannya tertunduk menahan kesakitan sebelum Jojo diisytiharkan sebagai pemenang menerusi keputusan knockout.
Jojo melakar sejarah apabila berjaya memperoleh kontrak enam angka ONE Championship Thailand bernilai AS$100,000 (RM467,000), sekali gus menjadikannya atlet termuda meraih kejayaan itu.
Atlet berusia 17 tahun itu mendapat kontrak tersebut selepas menumpaskan petarung Russia, Temirlan Bekmurzaev secara knockout (KO) dalam ONE Championship Thailand.
Pelajar tingkatan lima SMK St Thomas, Kuching itu mula beraksi di ONE Championship sejak Februari lalu, belum pernah mengalami kekalahan dalam kesemua lima pertarungannya.