fb fb fb fb fb

Agong, Permaisuri berkenan hadir majlis bersama legenda sukan negara

FOTO ISTANA NEGARA

KUALA LUMPUR, 9 Disember- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menghadiri majlis gala ‘Sports Flame’ yang menghimpunkan legenda sukan, jurulatih dan pegawai daripada era 1960-an hingga awal 80-an pada satu majlis hari ini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan menghadiri majlis yang dilangsungkan di Hotel Concorde Kuala Lumpur bagi meraikan dan mengimbau sumbangan 177 ikon yang mewarnai zaman kegemilangan sukan negara di pentas dunia.

Pasangan diraja itu turut berkenan menyantuni para tetamu dengan mengunjungi mereka dari setiap meja ke meja selain berswafoto bersama beberapa bekas atlet negara.

Al-Sultan Abdullah juga berkenan mendendangkan dua buah lagu iaitu 'To Love Somebody' dan 'How Deep Is Your Love' manakala Raja Permaisuri Agong pula berkenan menyampaikan dua buah lagu berjudul 'My Way' diikuti 'Menghitung Hari' sebelum pasangan diraja berduet menyanyikan lagu 'Kuch Kuch Hota Hai'.

Antara bekas atlet yang hadir, bekas pemain bola sepak negara, Datuk Santokh Singh dan Reduan Abdullah, bekas pemain badminton negara, Datuk James Selvaraj, bekas atlet olahraga negara, Josephine Marry dan bekas pemain hoki kebangsaan, Stephen van Huizen.

Majlis yang dianjurkan sejak 2011 itu merupakan inisiatif bersama empat bekas wartawan sukan negara iaitu Datuk Lazarus Rokk, Datuk George Das, Datuk Fauzi Omar dan R.Velu selain mendapat kerjasama sebuah portal tempatan bagi edisi kali ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE