KUALA TERENGGANU, 9 Disember- Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan Kerajaan Negeri mengumumkan cuti peristiwa di negeri itu esok seperti tular di media sosial.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya, beliau berkata poster mengenai dakwaan cuti peristiwa yang tular tersebut adalah palsu dan ia merupakan poster lama yang telah disunting.
“Berlegar-legar poster lama yang diedit (disunting) tentang cuti peristiwa pada esok, Ahad 10 Disember 2023.
“Untuk makluman, tiada cuti peristiwa diumumkan oleh kerajaan negeri,” katanya dalam hantaran tersebut.
Hari ini tular di laman sosial sebuah poster yang mendakwa kononnya kerajaan negeri mengumumkan esok sebagai cuti peristiwa selepas Terengganu FC berjaya melangkah ke final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) semalam.