fb fb fb fb fb

Tiada liga B-15, B-16 punca pasukan muda gagal - Pengarah Teknikal FAM

Scott O’Donell / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Ketiadaan liga kebangsaan bagi kategori umur Bawah 15 Tahun (B-15) dan Bawah 16 Tahun (B-16) menjadi punca utama kegagalan pasukan B-16 negara layak ke Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17) 2025.

Perkara itu diakui Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Scott O’Donell, sambil berkata pasukan akan terus bergelut untuk layak ke Piala Asia B-17 pada masa akan datang jika tiada platform bagi pemain muda terbaik negara bermain perlawanan kompetitif secara tetap.

Beliau turut menegaskan perlunya pangkalan pemain yang lebih besar untuk dipilih dan bukan hanya bergantung pada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Akademi Johor Darul Ta'zim (JDT).

“Dengan adanya liga kebangsaan B-15 dan B-16, ia akan dapat memberi peluang kepada pemain untuk menunjukkan kebolehan mereka sepanjang musim.

“Ia membolehkan jurulatih dan pencari bakat kami memerhati dan mengenal pasti pemain berbakat yang berpotensi di seluruh negara di sepanjang musim dan bukan hanya melihat mereka secara sekali sahaja dalam satu perlawanan persahabatan.

"Sama juga dengan cadangan saya untuk menambahkan lagi bilangan perlawanan dalam pertandingan Piala Belia dan Piala Presiden," kata O'Donell dalam satu kenyataan.

Berdasarkan struktur liga peringkat bawah umur kebangsaan ketika ini, terdapat Liga Piala Menteri Pendidikan Bawah 14 Tahun (B-14), Liga Piala Remaja KPM-FAM B-17, Piala Belia Bawah 18 Tahun (B-18) dan Piala Presiden Bawah 20 Tahun (B-20).

Bagaimanapun tiada liga kebangsaan bagi B-15 dan B-16, sekali gus tiada platform sesuai untuk penilaian dalam mendapatkan pemain terbaik bagi mewakili skuad B-16 kebangsaan ke Kelayakan Piala Asia B-17.

Pada saingan Kumpulan H pusingan kelayakan Piala Asia B-17 2025 di Laos, pasukan negara kendalian Javier Jorda Ribera itu menduduki tempat kedua.

Ini selepas tewas 0-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan seri 2-2 dengan skuad tuan rumah, sekali gus gagal melayakkan diri ke pusingan akhir.-BERNAMA

 

Trainee2