KUALA LUMPUR, 30 Oktober -- Sukan boling padang yang menjadi lubuk emas Malaysia, disahkan tidak akan dipertandingkan pada Sukan SEA Thailand 2025.
Menurut Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia Datuk Awalan Abdul Aziz, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) di Thailand pada 25 Oktober lalu.
Beliau berkata pihaknya kecewa dengan keputusan tersebut memandangkan Thailand mempunyai kemudahan yang baik apabila pernah menganjurkan Kejohanan Boling Padang Asia di Pattaya, Mac lepas.
“Kami sudah berusaha sedaya upaya untuk memastikan boling padang dipertandingkan di Sukan SEA Thailand 2025 dan ia juga mendapat sokongan daripada beberapa negara lain.
“Bagaimanapun apabila dibentangkan dalam mesyuarat 25 Oktober, Thailand menyatakan mereka tidak bersedia menjadi tuan rumah acara boling padang. Kita tidak mampu berbuat apa-apa kerana mereka adalah tuan rumah,” katanya.
Sebelum ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyatakan hasrat mengemukakan rayuan agar boling padang dipertandingkan di Sukan SEA Thailand 2025 selepas sukan itu tidak disenaraikan sebelum ini.
Kali terakhir boling padang dipertandingkan adalah pada temasya Sukan SEA ketika edisi 2019 di Filipina, menyaksikan skuad negara meraih empat pingat emas dan dua gangsa daripada enam acara dipertandingkan.-BERNAMA