PETALING JAYA, 25 April - Tiada campur tangan barisan pengurusan dalam urusan pemilihan jurulatih baharu di Akademi Badminton Malaysia.
Jelas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berhubung isu pelantikan itu, pihaknya menyerahkan kuasa penuh kepada bahagian teknikal BAM yang diketuai Rexy Mainaky untuk membuat pemilihan tersebut.
"Saya serahkan kepada pihak teknikal untuk memutuskan itu sebab mereka mempunyai KPI sendiri. Mereka juga sedang melihat banyak cabaran kejohanan tahun ini.
"Jadi saya rasa Reexy dan Choong Hann apa yang mereka cadangkan kami akan perhatikannya, kami akan berusaha mengenainya dan kemudian jika kita rasa cadangan itu kita akan luluskan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM dan mesyuarat agung tahunan badan induk itu, di sini.
(Tan Sri Mohamad Norza Zakaria)
Sebelum ini, jurulatih beregu lelaki Flandy Limpele dari Indonesia memutuskan tidak menyambung kontrak bersama BAM yang berakhir April ini.
Selain Flandy, BAM turut kehilangan khidmat jurulatih perseorangan wanita, Indra Wijaya dan jurulatih beregu wanita, Chan Chong Ming selepas masing-masing meletak jawatan pada Februari lalu dan Disember tahun lepas.
Seorang lagi jurulatih kelahiran Indonesia, Paulus Firman yang memegang jawatan sebagai jurulatih beregu campuran turut dijangka ‘angkat kaki’ apabila kontraknya berakhir hujung bulan ini.