BANGKOK, 21 Disember - Thailand menutup tirai Sukan SEA ke-33 sebagai negara paling berjaya dengan kutipan rekod 233 pingat emas tertinggi dalam sejarah, namun kejayaan itu dibayangi konflik sempadan berdarah dengan Kemboja.
Majlis penutup di Stadium Nasional Rajamangala berlangsung meriah dengan persembahan tarian, bunga api dan muzik, menyaksikan atlet dari 10 negara berarak membawa bendera kebangsaan masing-masing.
Bagaimanapun, kontinjen Kemboja tidak kelihatan selepas menarik diri sepenuhnya daripada Sukan SEA ke-33 sehari selepas temasya bermula pada 9 Disember, atas faktor keselamatan susulan konflik sempadan yang berterusan dengan Thailand.
Pertempuran semula antara Thailand dan Kemboja bulan ini mengorbankan puluhan nyawa serta memaksa lebih 800,000 penduduk berpindah.
Penganjuran temasya dwitahunan kali ini turut berdepan cabaran apabila banjir besar melanda selatan Thailand sejurus sebelum pembukaan, memaksa beberapa acara dipindahkan pada saat akhir ke Bangkok dan Chonburi.
Ini merupakan penganjuran pertama Sukan SEA oleh Thailand sejak 2007, selepas kali pertama menjadi tuan rumah temasya itu di Bangkok pada 1959.
Malaysia dijadual menjadi tuan rumah Sukan SEA seterusnya pada 2027.-AFP