LIVERPOOL, 21 Disember - Viktor Gyokeres menamatkan kemarau jaringan menerusi sepakan penalti untuk membawa Arsenal kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Everton, awal pagi tadi.
Arsenal sebelum itu dipintas Manchester City di puncak carta awal Sabtu, kembali menguasai kedudukan teratas dengan kelebihan dua mata walaupun mempamerkan persembahan kurang meyakinkan.
Minggu lalu skuad kendalian Mikel Arteta memerlukan gol lewat masa kecederaan untuk menewaskan Wolves yang berada di tangga tercorot, dan sekali lagi bergelut menembusi pertahanan Everton yang dibelenggu masalah kecederaan.
Kemenangan itu memastikan Arsenal mendahului liga sempena Krismas buat kali ketiga dalam tempoh empat musim, meskipun mereka gagal menjuarai liga pada dua kesempatan terdahulu selepas dikejar Manchester City.
Rekod sembilan perlawanan tanpa bolos daripada 17 aksi liga menjadi pelengkap kemenangan Arsenal pada ulang tahun keenam pengendalian Mikel Arteta bersama kelab itu.
Manchester City terus memberi tekanan apabila membelasah West Ham 3-0, dengan Erling Haaland menjaringkan gol ke-38 musim ini bagi kelab dan negara.-AFP