KUALA TERENGGANU, 12 Februari- Terengganu FC (TFC) berjaya mengikat dua pemain bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) Safawi Rasid dan Akhyar Rashid secara pinjaman selama setahun untuk Liga Malaysia, musim ini.
Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club, Mohd Sabri Abas.
Menurut Mohd Sabri, pengalaman luas dimiliki Safawi dan Akhyar di pentas tempatan dan antarabangsa mampu mambantu TFC mengharungi saingan musim baharu.
Jelasnya, Safawi dan Akhyar masing-masing akan memakai jersi bernombor 11 dan 33.
Safawi memulakan karier bola sepak secara profesional bersama T-Team pada 2014 hingga 2016 sebelum berhijrah ke JDT pada 2017.
Pada 2020, pemain berusia 27 tahun itu dipinjamkan ke kelab Portimonense S.C di Portugal dan Ratchaburi FC, Thailand pada 2023.
Akhyar pula memulakan kerjayanya bersama pasukan Kedah pada 2017 sebelum terbang ke selatan untuk bersama JDT pada 2019.