KUALA LUMPUR, 12 Februari- CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) kekal komited dalam membangun dan melestari sukan tanah air menerusi penajaan kepada atlet golf profesional negara, Ervin Chang.
Pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi 2021 itu dijadikan sebagai Duta Sukan CIMB menyaksikan beliau sebaris dengan Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Datuk Nicol Ann David.
Penajaan berkenaan sekali gus memberi perangsang dan suntikan semangat buat atlet berusia 25 tahun itu yang bakal membuat penampilan sulungnya dalam Jelajah Asia 2024 pada Terbuka Malaysia 15 hingga 18 Februari ini.
"Selepas cuti menyambut Tahun Baharu Cina, sekarang saya fokus daripada segi mental untuk bertanding dan sebenarnya sejak dua minggu lepas sudah tidak sabar untuk pertandingan itu nanti. Saya akan berikan yang terbaik,"katanya.
Ervin berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Tajaan oleh CIMB di ibu negara pagi tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif, Pengguna Kumpulan dan Perbankan Digital CIMB, Effendy Shahul Hamid berkata, pihaknya amat teruja dan berbesar hati diberi peluang bekerjasama dengan Ervin yang sedang meningkatkan prestasinya sekaligus berharap beliau akan membawa Malaysia ke peringkat lebih tinggi dalam arena sukan golf.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menghargai komitmen CIMB dalam menyokong pembangunan sukan negara serta berharap lebih ramai lagi pihak dapat membantu prospek atlet sukan negara terutama daripada segi kewangan untuk meningkatkan prestasi mereka di peringkat lebih tinggi.
"Saya ucapkan terima kasih kepada CIMB kerana mereka banyak melabur dalam pembangunan sukan di Malaysia dan kita mengalu-alukan lebih banyak lagi bank dan pihak swasta untuk mencari atlet yang mereka boleh sokong,"kata Hannah.