fb fb fb fb fb

Kecewa prestasi skuad terjun, Hannah mahu dengar penjelasan MS

FOTO AFP

KUALA LUMPUR, 12 Februari- Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menuntut penjelasan daripada Persatuan Renang Malaysia (MS) berhubung aksi mengecewakan skuad terjun negara pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar.

Jelas kecewa dengan prestasi yang dipamerkan, Hannah menjelaskan perbincangan lanjut mengenai nasib penerjun negara akan dibuat pada Mesyuarat Jawatakuasa Road To Gold (RTG) kelak.

"Pasti rasa kecewa tetapi saya mahu dengar dulu penjelasan daripada persatuan sukan tersebut kerana mereka mempunyai jurulatih, pengarah teknikal, jadi MSN sedang mengatur untuk mengadakan pertemuan dengan mereka (MS),"katanya.

Skuad terjun negara menamatkan kempen Kejohanan Akuatik Dunia di Doha,tanpa membawa pulang sebarang pingat selain tiada tambahan kepada senarai wakil negara yang berjaya menempah slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Malah, ratu terjun negara dan pemenang pingat dua kali, Datuk Pandelela Rinong serta dua lagi harapan negara Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee turut terlepas peluang untuk beraksi di Paris sekali gus menyaksikan hanya Bertrand Rhodict Lises menjadi satu-satunya penerjun negara yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Bertrand layak menerusi acara 10m platform lelaki selepas mengesahkan slot pada Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun, tahun lepas.

Sejak temasya Olimpik Sydney 2000, Malaysia tidak pernah gagal menghantar sekurang-kurangnya tiga wakil dalam sukan terjun, malah pada edisi London 2012 dan Rio 2016 skuad terjun kebangsaan diwakili masing-masing enam dan tujuh penerjun.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE