KUALA TERENGGANU, 4 Julai-Terengganu FC (TFC) menafikan khabar angin bahawa ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Ia susulan penularan berita dan gambar palsu di laman sesawang dan media sosial pada Rabu.
Menurut Pengarah Sukan TFC, Zul Fadli Rozi, berita berkenaan disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab atas tujuan tidak baik.
Tegasnya, pengendali kelahiran Croatia itu masih sihat dan giat melatih pemain di padang, petang semalam (Rabu).
Beliau serta keluarga besar TFC amat kesal dengan penularan berita itu yang dibimbangi menjejaskan semangat penyokong.
Zul Fadli juga berharap supaya peminat bola sepak tidak mudah percaya dengan khabar angin dan tidak menularkan berita palsu itu.
TFC kini sedang giat menjalani persiapan menghadapi perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Sabah FC di Kota Kinabalu, Sabtu ini.
Skuad Penyu membenam Sabah FC 4-0 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, minggu lalu.