Rundingan Kanada-AS diteruskan, tarif automotif jadi isu utama

Foto REUTERS

WASHINGTON, 20 Ogos – Rundingan perdagangan antara Kanada dan Amerika Syarikat (AS) diteruskan pada Rabu selepas Presiden AS, Donald Trump menangguhkan selama tiga hari pelaksanaan tarif 50 peratus ke atas sebahagian barangan Kanada.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadar tarif automotif menjadi isu utama belum selesai dalam rundingan antara Kanada dan AS.
  • Perwakilan kedua pihak meneruskan rundingan; kedua-dua negara akui masih ada kerja penting perlu dimuktamadkan.
  • Tarikh akhir Sabtu; kegagalan mencapai persetujuan menyebabkan tarif baharu dikenakan tanpa mengira kelayakan USMCA terhadap kira-kira AS$20 bilion barangan.

Rundingan antaranya memberi tumpuan isu utama yang belum diselesaikan termasuk kadar tarif automotif.

Sesi rundingan itu dihadiri Menteri Kanada yang bertanggungjawab terhadap perdagangan dengan AS, Dominic LeBlanc, Ketua Perundingan Perdagangan Kanada, Janice Charette serta Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer.

LeBlanc berkata kedua-dua negara sedang menjalankan rundingan bagi memuktamadkan isu yang berbangkit.

“Usaha kami masih berjalan. Saya sedang bertemu dengan Greer.

“Kami telah menyatakan bahawa masih ada sedikit lagi kerja yang perlu dilakukan untuk memuktamadkan perkara ini, dan itulah usaha yang sedang kami laksanakan,” katanya.

Kedua-dua pihak perlu mencapai persetujuan sebelum tarikh akhir pada Sabtu malam waktu tempatan.

Sekiranya persetujuan gagal dicapai menjelang tarikh akhir itu, tarif baharu akan dikenakan ke atas kira-kira AS$20 bilion barangan Kanada.

Tarif baharu akan berbeza dengan tarif sebelum ini kerana akan dikenakan tanpa mengira sama ada barangan terbabit layak menerima tarif keutamaan mengikut Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA).

Trump pada Selasa berkata kedua-dua negara telah mencapai persetujuan yang tertakluk kepada pemuktamadan dokumen.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Kanada, Mark Carney berkata pihaknya mengambil pendekatan lebih berhati-hati di samping memaklumkan rundingan menunjukkan kemajuan besar namun, masih terdapat kerja penting perlu diselesaikan.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.