
TEHRAN, 19 Ogos – Masa depan rundingan Amerika Syarikat (AS) dengan Iran semakin tidak menentu selepas tempoh rundingan selama 60 hari yang ditetapkan di bawah memorandum persefahaman (MoU) dua hala yang dicapai pada 18 Jun berhubung usaha menamatkan konflik di Asia Barat, berakhir pada Isnin.
- Tiada rundingan langsung antara Iran dengan AS sejak Washington didakwa melanggar MoU.
- Kedua-dua negara masih berselisih mengenai Selat Hormuz dan syarat untuk menamatkan konflik.
- White House beralih ke strategi 'mencekik' Iran; Trump arah hentikan sementara rundingan, hanya sambung jika Iran tunjuk kesediaan baharu.
Menurut sumber yang rapat dengan rundingan tersebut, tiada rundingan secara langsung antara Iran dengan AS berlaku sejak Washington melanggar MoU berkenaan.
Malah AS dan Iran masih berselisih pendapat mengenai Selat Hormuz serta syarat untuk menamatkan konflik.
Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump pada Selasa menerusi platform media sosial Truth Social berkata, “tiada rundingan atau perbualan sedang berlangsung, atau dijadualkan, dengan Iran.”
Kenyataan itu dibuat selepas Trump berulang kali mengatakan bahawa AS sedang berunding dengan Iran, namun dakwaan itu dinafikan pegawai Iran.
Susulan itu, Trump didakwa mengarahkan pasukan rundingannya menghentikan sementara hubungan dengan Iran, menurut seorang pegawai AS pada Selasa, manakala Tehran menafikan wujudnya rundingan secara langsung dengan Washington.
Menurut sumber yang mengetahui perkara itu, White House kini mengubah strateginya kepada pendekatan “mencekik” Iran secara beransur-ansur berbanding melancarkan serangan lanjut.
Pegawai AS itu berkata Trump kecewa dengan keengganan Iran memenuhi tuntutannya dan hanya akan menyambung semula hubungan sekiranya pemimpin Iran menunjukkan kesediaan baharu untuk mencapai perjanjian yang diinginkannya.
Perkembangan itu berlaku ketika usaha menghidupkan semula rundingan menemui jalan buntu, selain meningkatnya keraguan mengenai hala tuju proses berkenaan, termasuk isyarat Trump bahawa beliau bersedia berundur daripada konfrontasi itu.- REUTERS