KUALA TERENGGANU, 25 Mei- Terengganu FC (TFC) meraih tiga mata penuh untuk berada di tangga teratas kedudukan Liga Super dengan menumpaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 3-0 malam tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Kuala Terengganu, TFC membuka jaringan pada minit ke-35 menerusi sepakan penalti pemain import kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade.
Penalti diberikan pengadil Muhammad Shukor Zulkiflee, selepas semakan sistem Bantuan Pengadil VAR, mendapati terdapat kekasaran terhadap Safawi Rashid oleh pemain pertahanan KDN.
Sorakan 13,000 penyokong hitam putih semakin hebat selepas gol kedua terhasil menerusi rembatan pemain tengah, Nurillo Tukhtasinov pada minit ke-45.
TFC di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner berada di kedudukan selesa apabila Manuel Ott menjaringkan gol ketiga pada minit ke-47 sekali gus menceriakan lebih 13,000 penonton tuan rumah dan keputusan kekal 3-0 hingga ke wisel penamat.
Tiga mata diperoleh membawa TFC ke tangga teratas kedudukan Liga Super dengan tujuh mata keseluruhan sekali gus memotong pasukan gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) manakala KDN FC jatuh tiga anak tangga di kedudukan tercorot tanpa mata.
Sementara itu di Alor Setar, Kedah Darul Aman (KDA FC) dikecewakan Perak FC 0-2 dalam aksi pertama Liga Super di laman sendiri.
Pelawat, The Bos Gaurus tidak gentar menghadapi Sang Kenari yang bersemangat memburu kemenangan pertama liga
Perak memperoleh jaringan pertama menerusi pemain import Korea Selatan, Lee Tae-min pada minit ke-17.
Bersambung pada babak kedua, Sukhrob Nurulloev hampir menyamakan kedudukan menerusi sepakan sudut dari luar kotak penalti, namun percubaannya terkena tiang gol.
Tae-Min muncul wira kelab tersebut apabila menyumbang gol kedua pada minit ke-76.
Skuad Yusri Che Lah berjaya meraih kemenangan pertama liga selepas tewas dua perlawanan berturut-turut pada aksi permbukaan Liga Super musim ini.