KUALA LUMPUR, 25 Mei- Skuad hoki dalam dewan lelaki kebangsaan mara ke final Piala Asia 2024 selepas mengikat Iran 3-3 pada aksi Kumpulan C malam tadi.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia memperoleh lima mata keseluruhan dan menduduki tangga kedua Kumpulan C di belakang Iran yang mengumpul tujuh mata, sekali gus menempah slot ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025 di Porec, Croatia pada 3 hingga 9 Februari tahun depan.
Aksi Kumpulan C di Kompleks Sukan Taldykorgan, Kazakhstan malam tadi menyaksikan Iran membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti Shahrokhi Mahdi seawal minit ke-10 sebelum Mirzakhani Amirmahdi menggandakan kedudukan menerusi jaringan padang enam minit kemudian.
Malaysia bangkit merapatkan jurang apabila Abdul Khaliq Hamirin membolosi gawang pasukan lawan pada minit ke-21, namun Shahrokhi sekali lagi membuat jaringan pukulan sudut penalti untuk Iran mendahului 3-1 pada minit ke-27.
Seminit kemudian pertahanan negara Muhammad Aminuddin Mohd Zaid menghadiahkan jaringan kedua Malaysia sebelum Abdul Khaliq menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-30.
Terdahulu, Malaysia melepasi cabaran pertama dalam pusingan kedua Piala Asia 2024 dengan menewaskan Thailand 5-2 pada Khamis.
Pada pusingan pertama dalam Kumpulan B, skuad negara membelasah Oman 10-2 pada Selasa lepas, diikuti seri 3-3 dengan tuan rumah Kazakhstan dan mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua dengan mengatasi juara Sukan SEA 2023, Indonesia, 5-4 pada Rabu.
Skuad kendalian Mohd Rodzhanizam Mat Radzi itu sekali lagi dijadual bertemu Iran pada aksi final yang akan berlangsung pada 5 petang ini (waktu Malaysia). - BERNAMA