KUALA LUMPUR, 25 Mei- Jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly terus mencatatkan kejayaan membanggakan buat negara apabila merangkul gelaran dunia kali keempat di Kejohanan Olahraga Para Dunia Kobe 2024 di Jepun hari ini.
Kejayaan itu hadir selepas atlet berusia 27 tahun itu merekodkan 7.30 meter (m) untuk meraih pingat emas acara lompat jauh T20 (kecatatan intlektual) selepas lompatan pertama, ketiga, keempat dan kelima terbatal selain hanya melakukan 6.34m pada lompatan terakhir.
Beliau pernah menjuarai edisi Doha 2015, London 2017 dan Paris 2023.
Chala Espinoza dari Ecuador dan Obando Asprilla dari Colombia pula masing-masing meraih pingat perak (6.95m) dan gangsa (6.84m).
Seorang lagi wakil negara Zulkifly Abdullah menamatkan saingan di tempat ke-12 daripada 13 peserta setelah hanya melakukan lompatan sejauh 6.02m.
Atlet kelahiran Perlis itu telah mengesahkan slot untuk Paralimpik Paris 2024 selepas memenangi pingat emas ketika menjuarai Kejohanan Olahraga Para Dunia di Paris, Perancis tahun lepas menerusi catatan 7.40m.
Latif merupakan juara bertahan Paralimpik untuk dua kali berturut-turut selepas memenangi pingat emas ketika menyertai edisi 2016 di Rio serta Tokyo 2020.- BERNAMA