fb fb fb fb fb

Norza sah letak jawatan Presiden BAM selepas tamat Olimpik 2024

Mohamad Norza Zakaria (tengah) bersama V Subramaniam (kiri) dan Kenny Goh (kanan) pada sidang media hari ini

KUALA LUMPUR, 25 Mei- Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan perletakan jawatannya secara rasmi sejurus tamat Sukan Olimpik Paris 2024, Ogos depan.

Perletakan jawatan beliau berkuat kuasa pada 24 Ogos depan dan Timbalannya, Datuk V Subramaniam dipilih secara sebulat suara oleh ahli majlis BAM untuk memangku jawatan presiden.

Menurut Norza, Subramiam yang juga Presiden Persatuan Badminton Selangor (SBA) akan memikul tugas selaku pemangku presiden sehingga pemilihan kepimpinan baharu BAM pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang dijangka diadakan pada April atau Mei tahun depan.

"Bagi memastikan stabiliti dan memperkasakan apa yang kami sudah ada ketika ini, semua ahli majlis bersetuju yang dari sekarang sehingga AGM tahun depan, perlu ada calon dalaman untuk menerajui BAM.

"Perkara ini juga selari dengan perlembagaan BAM artiket 9.2E berhubung kedudukan pemangku presiden sehingga AGM tahun depan," katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis BAM di Axiata Arena Bukit Jalil di sini, hari ini.

Sidang media berkenaan turut dihadiri oleh Subramaniam dan Setiausaha Agung Persatuan BAM, Datuk Kenny Goh.

Sementara itu, Subramaniam menyatakan kesediaan beliau untuk memikul tanggungjawab sebagai pemangku presiden.

"Apa sahaja yang ditinggalkan oleh Norza, saya akan teruskan. Segala  apa yang Norza lakukan selama ini adalah penting untuk BAM, jadi saya akan teruskan," katanya.

Beliau telah terlibat dengan Persatuan Badminton Selangor sejak 1988 sebelum mula berkhidmat sebagai Naib Presiden BAM pada 2007.

SITI AISHAH MD ISA