fb fb fb fb fb

TFC melangkah ke suku akhir Piala Malaysia, tewaskan Sri Pahang FC 4-2

TERENGGANU, 2 November - Pasukan Terengganu FC, (TFC) menepati ramalan apabila melangkah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia selepas menang dengan agregat 9-3 menumpaskan Sri Pahang FC pada aksi pusingan 16 pasukan.

Dalam aksi timbal balik yang berlangsung dalam keadaan hujan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Kuala Nerus malam tadi, skuad kendalian Ketua Jurulatih Nafuzi Zain menumpaskan pelawat 4-2.

Di hadapan hampir 18,000 penyokong TFC, mereka memulakan jaringan menerusi pemain penyerang Kpah Sherman pada minit kedua selepas menerima umpanan daripada Faisal Halim.


(Ketua Jurulatih TFC Nafuzi Zain)

Tuan rumah terus menguasai permainan dan berhasil manambah jaringan pada minit ke-29 apabila Faisal Halim merembat kencang dalam kotak penalti selepas menerima umpanan Sherman.

Selepas jaringan itu, Skuad Penyu terus mengasak ke kubu Sri Pahang dan berjaya menembusi penjaga gol Mamadou Samassa untuk gol ketiga menerusi pemain pertahanan, Muhammad Azam Azmi Murad pada minit ke-35.

Biarpun TFC terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain, mereka terus mengasak pelawat untuk gol ke-4 pada minit ke-44 menerusi sepakan penalti Kpah Sherman selepas Faisal dijatuhkan Baqiuddin Shamsudin.

Babak kedua pula menyaksikan skuad Tok Gajah berhasil menemui jaringan apabila rembatan bekas pemain TFC, Lee Tuck menerjah gol pada minit ke-71 untuk menjadikan kedudukan 4-1.

Minit ke-83, Rodriguez Ossa berjaya menambah jaringan kedua pasukannya untuk kedudukan muktamad kekal 4-2.

Dengan kemenangan itu, gergasi Pantai Timur itu bakal bertemu Juara Piala Malaysia Edisi lalu Kuala Lumpur City FC pada aksi suku akhir pertama pada 6 November ini.

Ketua Jurulatih TFC Nafuzi Zain ketika ditemui berkata, beliau tetap percaya dengan perancangan dan kemampuan anak-anak buahnya untuk perlawanan suku akhir nanti.

"Kita tahu kita bertemu KL city juara bertahan tahun lepas piala Malaysia, final AFC cup tahun ini, bukan tugas yang mudah, saya rasa satu cabaran lah untuk pemain, yang penting pemain fokus dan bersedia untuk bertemu dgn KL ini yang sesuatu yang sukar pada saya," katanya.

Khamis lalu, TFC menang 5-1 pada aksi pertama di Stadium Darul Makmur Kuantan.

Media Baharu