KUALA PERLIS, 6 Ogos – Seramai 155 pemain mewakili 31 pasukan dari seluruh negeri Perlis menyertai kejohanan Sepak Penalti Frontliner: Mencari Sarjan Hassan, yang julung kali dianjurkan khas untuk petugas barisan hadapan daripada pelbagai sektor pekerjaan.
Kejohanan itu dianjurkan Pertubuhan Abata Sukan dan Rekreasi (ABATA) dengan kerjasama UMNO Bahagian Kangar, Jabatan Penerangan Negeri Perlis serta Sekolah Kebangsaan Seberang Ramai, Kuala Perlis.
Menurut Penaung ABATA, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, kejohanan tersebut bukan sahaja bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan negara, malah bersempena Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Perlis.
Penaung ABATA, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya (baju merah) melakukan gimik perasmian kejohanan Sepak Penalti Frontliner: Mencari Sarjan Hassan di Padang Sekolah Kebangsaan Seberang Ramai, Kuala Perlis
“Pelaksanaan kejohanan ini berjaya menarik penyertaan golongan muda dalam kalangan petugas barisan hadapan ke arah gaya hidup yang positif melalui aktiviti riadah dan sukan,” katanya.
Kejohanan tersebut berlangsung di Padang Sekolah Kebangsaan Seberang Ramai, di sini.
Jelas beliau, program tersebut turut dilihat sebagai platform untuk membentuk generasi belia yang mampu bekerjasama dalam pasukan, menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi, membudayakan gaya hidup sihat serta memperkukuhkan jati diri, perpaduan dan semangat patriotik dalam kalangan peserta sempena sambutan bulan kebangsaan.
Pasukan yang berjaya menjadi Johan, membawa pulang wang tunai RM1,000, piala dan sijil penyertaan, manakala Naib Johan menerima RM700 beserta hamper.
Tempat Ketiga dan Keempat masing-masing menerima RM500 dan RM300 bersama hamper sebagai penghargaan atas pencapaian mereka.