fb fb fb fb fb

2,000 pemain sertai Selangor Touch Fiesta 2025

Sebanyak 2,000 pemain daripada 104 pasukan dijangka mengambil bahagian dalam Selangor Touch Fiesta 2025, yang akan berlangsung dari 15 hingga 18 Ogos ini di Hevea Arena, Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRI), Sungai Buloh / Foto Bernama

SUNGAI BULOH, 6 Ogos – Sebanyak 2,000 pemain daripada 104 pasukan dijangka mengambil bahagian dalam Selangor Touch Fiesta 2025, yang akan berlangsung dari 15 hingga 18 Ogos ini di Hevea Arena, Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRI), di sini.

Setiausaha Persatuan Touch Negeri Selangor (TAS), Amir Afifuddin Amir Sharifudin berkata kejohanan tersebut akan mempertandingkan lapan kategori, termasuk lima kategori junior dan tiga kategori terbuka iaitu lelaki, wanita dan campuran.

Menurutnya, edisi kali ini turut menarik penyertaan antarabangsa melibatkan lapan pasukan dari Singapura, Brunei dan Filipina.

0608 SKN SELANGOR TOUCH FIESTA 2Amir Afifuddin Amir Sharifudin

“Selangor Touch Fiesta ini bukan sekadar kejohanan, sebaliknya permulaan kepada satu legasi bagi sukan touch,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau, penganjuran kejohanan itu juga merupakan antara usaha TAS untuk memartabatkan sukan touch, menyatukan komuniti serta membuka ruang kepada pemain dari peringkat akar umbi sehingga ke atlet berpotensi mewakili negara.

“Kejohanan ini adalah platform untuk mencungkil bakat dan memberi peluang kepada pemain untuk menyerlah, selain menjadi satu acara yang mengeratkan silaturahim dalam kalangan peminat sukan touch,” katanya lagi.

Sukan touch merupakan permainan padang yang dimainkan oleh dua pasukan dengan enam pemain setiap pasukan, tanpa sebarang kontak fizikal kasar.

Ia menekankan kemahiran asas seperti berlari, menghantar, menangkap dan mengelak, serta menggunakan bola yang menyerupai bola ragbi, menjadikannya sesuai untuk pelbagai peringkat umur dan jantina.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN