KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Barisan pemain beregu negara diingatkan supaya berani meletakkan sasaran lebih tinggi menjelang Kejohanan Badminton Dunia 2025 yang bakal berlangsung di Paris hujung bulan ini, dengan penekanan utama diberikan kepada aspek kekuatan mental dan kestabilan emosi sebagai fokus fasa akhir persiapan.
Pengarah Kejurulatihan Beregu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata tempoh yang masih berbaki sebelum kejohanan tidak memungkinkan perubahan ketara dari segi teknikal, justeru fokus latihan kini lebih menjurus kepada pembentukan mentaliti yang mantap dan konsistensi pemain ketika beraksi di gelanggang.
“Kalau kita berbicara mengenai kemahiran, tidak akan ada perubahan besar. Pemain-pemain ini sudah berada di peringkat dunia. Jadi sekalipun kita diberi 10 tahun untuk meningkatkan skil mereka, peningkatannya mungkin hanya 10 peratus sahaja.
“Tetapi apa yang memberi kesan kepada prestasi harian mereka adalah berpunca dari pemikiran. Jadi, jurulatih juga perlu melihat dari sudut ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini.
Menurut Rexy, hala tuju pemain perlu seiring dengan perancangan jurulatih bagi memastikan sasaran yang ditetapkan mampu dicapai secara realistik berdasarkan tahap persediaan semasa.
“Ini penting supaya pemain tidak berdepan masalah prestasi ‘on-off’, di mana hari ini nampak bagus, tetapi esok merosot tanpa tahu puncanya,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, jurulatih masa kini juga perlu mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh, termasuk memahami isu di luar gelanggang yang boleh memberi kesan kepada fokus dan prestasi atlet.
Untuk edisi kali ini, skuad beregu negara akan diketuai oleh juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, serta pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun bagi kategori beregu lelaki.
Sementara itu, bagi beregu wanita, Malaysia mempertaruhkan Pearly Tan-M. Thinaah serta Go Pei Kee-Teoh Mei Xing.
Kategori beregu campuran pula menyaksikan kehadiran pasangan nombor empat dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, serta pasangan ranking ke-16 dunia, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.