fb fb fb fb fb

Kejohanan golf amal PEKEMA sasar 500 peserta seluruh negara

Kejohanan golf amal Piala Presiden PEKEMA 2025 dijangka menjadi antara kejohanan golf amatur terbesar di Malaysia

CYBERJAYA, 6 Ogos – Kejohanan golf amal Piala Presiden PEKEMA 2025 dijangka menjadi antara kejohanan golf amatur terbesar di Malaysia, dengan penyertaan hampir 500 pemain dari seluruh negara.

Edisi ke-11 kejohanan anjuran Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) itu bakal berlangsung selama dua hari, bermula 23 Ogos ini di Palm Garden Golf Club, Putrajaya.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata kejohanan tersebut bukan sekadar medan persaingan sukan, malah menjadi platform memperkukuh jaringan industri serta menyokong usaha kebajikan.

0608 SKN PEKEMA CHARITY GOLF 2Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin

“Golf amal PEKEMA bukan sekadar acara sukan, ia turut menyokong inisiatif kebajikan dan membina hubungan strategik antara pelbagai pihak dalam serta luar industri,” katanya dalam sidang media PEKEMA Charity Golf 2025 di Wisma Yayasan PEKEMA, di sini.

Tambah beliau, penganjuran tersebut mencerminkan komitmen PEKEMA dalam mengimbangi semangat keusahawanan, pembangunan sukan dan keprihatinan sosial.

“Melalui acara ini, kami menganggarkan sumbangan sebanyak RM235,000 akan disalurkan kepada golongan asnaf dan keluarga B40 yang memerlukan,” jelasnya.

Kejohanan kali ini turut menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM500,000, termasuk ganjaran hole-in-one berupa kereta elektrik dan wang tunai, menjadikannya antara kejohanan paling menarik dalam kalendar golf kebajikan tempatan.

Beberapa kategori akan dipertandingkan, termasuk Medal A, Medal B, Medal C, kategori wanita, dan senior, bagi memastikan penglibatan menyeluruh daripada semua peringkat peserta.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN