LIVERPOOL, 6 Ogos – Juara Liga Pro Saudi, Al Hilal dilaporkan telah mencapai persetujuan untuk mendapatkan penyerang Liverpool, Darwin Nunez, sekali gus menambah satu lagi nama besar ke dalam senarai bintang mereka.
Menurut laporan media Britain, perpindahan penyerang antarabangsa Uruguay berusia 26 tahun itu dianggap satu lagi kejayaan besar buat Liga Pro Saudi yang semakin mendapat perhatian dunia dengan deretan pembelian berprofil tinggi sejak dua tahun kebelakangan ini.
Darwin Nunez / Foto Reuters
Nunez, yang menyertai Liverpool dari Benfica pada 2022, membantu kelab itu menjuarai Liga Perdana Inggeris musim lalu, namun aksi tidak konsisten di hadapan gawang menyebabkan beliau sering diturunkan dari bangku simpanan.
Walaupun begitu, kemampuannya menjaringkan gol penting dan keupayaan fizikal yang tinggi menjadikan Nunez sebagai sasaran utama Al Hilal bagi memperkukuh jentera serangan pasukan menjelang musim baharu.
Sekiranya perpindahan itu dimuktamadkan secara rasmi dalam masa terdekat, Nunez bakal menyertai senarai pemain ternama dunia yang telah berhijrah ke Arab Saudi, termasuk Neymar, Aleksandar Mitrovic dan Kalidou Koulibaly yang kini turut bersama Al Hilal. -REUTERS