PUCHONG, 6 Ogos – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli menegaskan fokus utamanya kini terarah kepada dua kejohanan penting, dengan Red Bull Rookies Cup kekal menjadi keutamaan apabila beliau sedang mendahului carta keseluruhan kejohanan tersebut.
Dengan kelebihan 13 mata mengatasi pencabar terdekat dari Sepanyol, Brian Uriarte, dan 24 mata di hadapan pelumba Indonesia, Veda Pratama, Hakim kini dalam misi mengekalkan momentum menjelang dua baki pusingan terakhir kejohanan di Eropah.
“Saya memang beri fokus seratus peratus kepada kedua-dua perlumbaan iaitu MiniGP dan Red Bull Rookies Cup. Saya akan memberikan yang terbaik dalam setiap pusingan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan motosikal peribadinya yang menerima naik taraf, bertempat di ibu pejabat MKA di sini.
Hakim Danish Ramli / Foto Bernama
Terdahulu, Hakim menyifatkan suntikan semangat turut hadir apabila jentera Yamaha Y15ZR miliknya menerima transformasi penuh hasil tajaan komponen berprestasi tinggi daripada UMA Racing dan RCB.
“Motor ini memang bagi semangat tambahan kepada saya. Saya rasa sangat gembira dan lebih bersemangat untuk menghadapi perlumbaan dan sesi latihan nanti,” katanya.
Naik taraf yang dianggarkan bernilai belasan ribu ringgit itu dijangka menjadi pembakar semangat tambahan buat pelumba berusia 17 tahun itu menjelang perlumbaan penting.
Hakim kini sedang giat melakukan persiapan bagi menghadapi pusingan kelapan Red Bull Rookies Cup di Litar Red Bull Ring, Austria pada 16 hingga 17 Ogos ini, sebelum musim menutup tirai di Litar Misano, Itali, pertengahan September nanti.