KUALA LUMPUR, 6 Ogos -Sebanyak RM1.5 juta diperuntuk kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tahun ini bagi melaksanakan Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP).
Timbalan Menteri Belia Dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata, ia sebagai langkah memperkasa sukan sepak takraw di peringkat akar umbi dalam melahirkan lebih ramai bakat baharu sukan itu.
"Seramai 500 pemain merangkumi 340 orang lelaki dan 160 wanita berusia 13 hingga 17 tahun akan melalui pendekatan latihan yang berstruktur di 25 buah pusat latihan NSTDP dengan pemantauan seramai 50 orang jurulatih. Melalui program ini pemain-pemain muda negara yang sedang menerima pendedahan latihan dan pertandingan dengan intensif tinggi akan dipastikan pemain muda ini menyesuaikan diri dengan lebih awal dengan suasana pertandingan yang menguji mental pemain," katanya menjawab soalan wakil Hulu Langat Mohd Sany Hamzan, di Dewan Rakyat.
Beliau berharap agar pelbagai program pembangunan dapat dilaksanakan menerusi peruntukan yang disalurkan itu.
Mengenai hasrat PSM untuk membida penganjuran Piala Dunia Sepaktakraw 2026 serta mencadangkan Kuala Lumpur sebagai lokasi kejohanan tersebut; Adam Adli berkata, pihak kementerian menyambut baik hasrat tersebut namun semua pembidaan dan penganjuran acara sukan perlu mematuhi Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan 1997 akta 576 dan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa.
Tambahnya, penganjuran bertaraf dunia itu juga mampu menjadi pemangkin kepada kemeriahan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) di samping memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi negara selain menarik kedatangan pelancong dan memperkukuh ekosistem sukan tempatan.