fb fb fb fb fb

2,000 pemain, 104 pasukan berentap di Selangor Touch Fiesta 2025

Foto Facebook Touch Selangor

SUNGAI BULOH, 6 Ogos - Sebanyak 2,000 pemain daripada 104 pasukan bakal bersaing pada kejohanan Selangor Touch Fiesta 2025 yang dijadual berlangsung di Hevea Arena, Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRI), di sini, dari 15 hingga 18 Ogos ini.

Setiausaha Persatuan Touch Negeri Selangor (TAS) Amir Afifuddin Amir Sharifudin berkata lapan kategori dipertandingkan pada kejohanan itu terdiri daripada lima kategori junior dan tiga terbuka iaitu lelaki, wanita dan campuran.

Beliau berkata selain pasukan tempatan, kejohanan itu turut menerima penyertaan lapan pasukan luar negara dari Singapura, Brunei dan Filipina.

“Selangor Touch Fiesta ini bukan sekadar kejohanan, sebaliknya permulaan kepada satu legasi bagi sukan touch.

“Kejohanan ini adalah cara TAS memartabatkan sukan touch, menyatukan komuniti dan memberi peluang kepada pemain di peringkat akar umbi hingga atlet berbakat mewakili negara satu hari nanti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Touch ialah permainan dimainkan oleh dua pasukan dengan enam pemain setiap satu.

Menggalakkan kemahiran asas seperti berlari, menghantar, menangkap, mengelak dan permainan sokongan, sukan touch dimainkan dengan sentuhan minimum tanpa kontak fizikal kasar menggunakan bola menyerupai ragbi. - BERNAMA

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD