MONTREAL, 6 Ogos – Kejutan terus mewarnai Kejohanan WTA 1000 National Bank Open di Montreal apabila pemain Jepun Naomi Osaka dan Clara Tauson dari Denmark mara ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan meyakinkan.
Osaka, juara Grand Slam empat kali mengejutkan pilihan ke-10 dari Ukraine, Elina Svitolina 6-2, 6-2.
Ini merupakan prestasi terbaik Osaka dalam kejohanan WTA 1000 sejak mara ke pentas akhir Miami Open 2022.
Pada perlawanan berkenaan, dia memenangi 16 daripada 18 mata ketika servis dan tidak berdepan sebarang break point.
Kemenangan itu dijangka melonjakkan kedudukannya dari tangga ke-49 dunia ke No. 34, ranking tertingginya sejak kembali ke jelajah 20 bulan lalu.
Osaka turut mengaitkan kejayaannya dengan bimbingan jurulatih baharu, Tomasz Wiktorowski.
Tauson pula menundukkan pilihan keenam Madison Keys 6-1, 6-4, sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Dia mematahkan servis Keys dua kali dalam set pertama dan satu lagi pada permulaan set kedua.
Tauson, yang sebelum ini menewaskan juara Wimbledon 2025 Iga Swiatek di pusingan sebelumnya, memenangi hampir 73 peratus mata ketika melakukan servis.
Tauson mendedahkan selepas perlawanan bahawa beliau bermain dengan penuh emosi kerana kehilangan datuknya pada Ahad lalu.
Osaka dan Tauson akan bertemu dalam separuh akhir kedua pada Rabu.
Kedua-dua pemain ini pernah bertemu di pentas akhir Terbuka Auckland 2025, menyaksikan Osaka memenangi set pertama tetapi terpaksa menarik diri akibat kecederaan, membolehkan Tauson meraih gelaran ketiganya dalam karier. - REUTERS