RIYADH, 6 Ogos – Juara bertahan Al Hilal tidak akan dibenarkan menyertai edisi 2026-27 Piala Super Saudi selepas menarik diri daripada kejohanan musim ini yang dijadual berlangsung di Hong Kong, menurut Jawatankuasa Tatatertib dan Etika Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) pada Selasa.
Keputusan itu dibuat susulan tindakan Al Hilal menarik diri daripada kejohanan empat pasukan tersebut yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 23 Ogos, dengan alasan keletihan selepas menyertai Piala Dunia Kelab.
Pasukan itu tewas 2-1 kepada Fluminense dalam suku akhir kejohanan tersebut pada 4 Julai lalu.
“Al Hilal enggan menyertai Piala Super Saudi musim 2025-2026 selepas jadual rasmi pertandingan itu diumumkan,” kata jawatankuasa berkenaan dalam kenyataan.
Berikutan pelanggaran Artikel 59-3 Peraturan Tatatertib dan Etika, Al Hilal dikenakan denda sebanyak 500,000 Riyal Saudi (RM620,000) yang perlu dibayar kepada SAFF.
Selain denda, kelab itu turut dilucutkan sebarang ganjaran kewangan yang diperuntukkan bagi edisi musim ini.
Jawatankuasa turut memaklumkan bahawa keputusan itu boleh dirayu.
Al Hilal, yang muncul juara selepas menewaskan Al Nassr musim lalu untuk kejuaraan kelima mereka, sepatutnya menentang naib juara Piala Raja, Al Qadsiah, pada separuh akhir 20 Ogos ini.
Namun tempat mereka kini diisi oleh juara Liga Juara-Juara AFC, Al Ahli.
Sementara itu, Al Ittihad yang memenangi kedua-dua Liga Pro Saudi dan Piala Raja, akan berdepan pasukan tempat ketiga liga, Al Nassr, pada separuh akhir satu lagi pada 19 Ogos.
SAFF masih menunggu sebarang komen daripada pihak Al Hilal. - REUTERS