LONDON, 6 Ogos – Bekas pemain tengah Arsenal, Thomas Partey, hadir di Mahkamah Majistret Westminster pada Selasa selepas didakwa atas lima pertuduhan merogol dua wanita ketika masih bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Pemain antarabangsa Ghana berusia 32 tahun itu juga berdepan satu lagi pertuduhan serangan seksual terhadap seorang wanita ketiga, dalam kejadian yang didakwa berlaku antara April 2021 hingga Jun 2022.
Dalam prosiding ringkas itu, Partey yang berpakaian serba hitam hanya bercakap untuk mengesahkan nama, tarikh lahir dan alamatnya.
Beliau tidak diminta untuk membuat sebarang pengakuan terhadap pertuduhan.
Pendakwa raya, Jocelyn Ledward, memaklumkan bahawa dua pertuduhan melibatkan dakwaan melakukan persetubuhan di luar tabii dengan seorang wanita.
Tiga pertuduhan lain pula berkait dengan seorang wanita kedua, yang mendakwa telah dirogol pada tiga kejadian berasingan iaitu dua di Britain dan satu di Sepanyol.
Hakim Paul Goldspring membenarkan Partey dibebaskan dengan jaminan dan menetapkan tarikh sebutan kes seterusnya pada 2 September ini.
Peguamnya sebelum ini memaklumkan bahawa Partey menafikan semua pertuduhan dan bersedia membersihkan namanya di mahkamah.
Partey menyertai Arsenal dari Atletico Madrid pada tahun 2020 dengan nilai perpindahan sebanyak 50 juta euro (sekitar RM285 juta), dan menjadi tonggak utama pasukan, membuat 52 penampilan dalam semua kejohanan musim lalu.
Beliau pertama kali ditahan pada Julai 2022, namun identitinya tidak didedahkan ketika itu dan terus bermain untuk Arsenal sementara siasatan dijalankan. Kontraknya bersama kelab London itu tamat bulan lalu.
Media Britain melaporkan bahawa Partey kini hampir menyertai kelab Sepanyol, Villarreal, secara perpindahan percuma. Hakim turut memaklumkan bahawa pemain itu akan berpindah ke Sepanyol dalam masa terdekat. - REUTERS