fb fb fb fb fb

"Tewaskan Vfl Bochum 7-0, bukti usaha keras kami" - Mane

(FOTO AFP)

BERLIN, 22 Ogos- Aksi cemerlang juara Bundesliga, Bayern Munich diawal musim sememangnya tidak diragui pemain.

Kenyataan tersebut diutarakan penyerang baharunya, Sadio Mane memandangkan ia dibuktikan melalui sesi latihan dan taktikal pengurus, Julian Nagelsmann yang membuahkan hasil.

Bayern yang terus mendominasi carta liga mencatat tiga kemenangan menentang Eintracht Frankfurt, Wolfsburg dan terbaharu, Vfl Bochum pada awal pagi tadi.

Selain itu, Bayern berjaya melakar rekod baharu Bundesliga dengan jurang perbezaan gol, +14 dengan tiga perlawanan tersebut.

Mane yang ditemui media tempatan selepas perlawanan menyatakan, jaringan 7-0 yang tercipta adalah hasil latihan dan persiapan pasukan.

“Ia sukar dipercayai, tetapi ia bukan satu kejutan bagi saya memandangkan itu cara kami berlatih.

"Ia adalah latihan tahap tinggi, intensiti tinggi. Semua yang kami lakukan membuahkan hasil kerana kami bekerja keras dalam latihan," kata Mane kepada laman web Bundesliga.

Pemain Senegal, 30, yang menghabiskan enam tahun di bawah kendalian Jurgen Klopp dari Liverpool, memuji Nagelsmann atas dominasi pasukan itu.

"Kami mempunyai jurulatih yang sangat baik. Idea yang dia ada sungguh luar biasa. Amat sukar untuk pasukan lain menghadapi kami," tambahnya.


(Penyerang Bayern, Sadio Mane menyempurnakan sepakan penalti pada babak kedua
sekali gus menyumbang gol ke-5 pasukan/AFP)

Mane, yang berpindah ke Bayern dari Liverpool pada musim panas lalu dengan bayaran €32 juta Euro (RM144 juta) telah menjaringkan empat gol dalam empat penampilan kompetitif untuk Munich.

Mane menyumbangkan dua gol menerusi aksi pagi tadi pada minit ke-42 dan sepakan penalti pada babak kedua permainan.

Dia kelihatan telah mendapat peranan sebagai penentu penalti yang ditetapkan oleh Bayern.

Bayern Munich akan bertemu Mönchengladbach, Ahad ini untuk saingan seterusnya.-AFP

 

Media Baharu