NEWCASTLE, 22 Ogos- Pengendali skuad The Citizen, Pep Guardiola meletakkan Newcastle United sebagai salah satu pencabar utama Liga Perdana Inggeris musim ini.
Ia susulan perlawanan diantara Manchester City dan Newcastle itu berakhir dengan keputusan seri, 3-3 di Stadium St. James Park awal pagi tadi.
"Newcastle menjadi salah satu lawan yang paling sukar pastinya.
"Leeds menewaskan Chelsea hari ini. Liga Perdana adalah sangat sukar untuk semua orang. Anda perlu menjalani pengalaman ini untuk mengetahui betapa hebatnya kami telah lakukan selama lima tahun dan betapa sukarnya ia akan berlaku.
"Untuk melihat pasukan berjuang hingga akhir, ia sudah memadai," kata Guardiola.
City membuka tirai jaringan seawal minit ke-5 menerusi perancang pasukan, İlkay Gündoğan namun 20 minit kemudian, Miguel Almirón menyamakan kedudukan menerusi jaringan kontroversi yang terpaksa diadili dengan teknologi VAR.
(Penyerang Manchester City, Erling Haaland diasak pemain Newcastle United dalam aksi
pagi tadi/AFP)
Skuad The Magpies terus menggandakan asakan dengan gerakan Allan Saint-Maximin dari arah 'cut back' mencari Callum Wilson untuk meletakkan pasukannya di hadapan.
Masuk babak kedua, tekanan terus diberikan kepada City dengan jaringan ketiga daripada Kieran Trippier menerusi sepakan percuma.
Kebangkitan anak buah Pep, disempurnakan Erling Haaland sebelum Bernardo Silva memperoleh satu lagi gol untuk memastikan keputusan berakhir seri.
"Perlawanan yang hebat dan emosi bercampur-campur. Kami ketinggalan 1-0 dan ia sesuatu yang buruk apabila berdepan pasukan sebegini, kerana kami perlu mengejar.
"Tetapi saya rasa pemain-pemain bangkit dengan hebat. Kami memerlukan sesuatu daripada perlawanan ini dan ia berhasil," kata pengendali Newcastle, Eddie Howe.
Manchester City naik ke tangga kedua, dua mata di belakang Arsenal dan akan melayani kunjungan daripada Crystal Palace untuk saingan seterusnya pada Sabtu ini di Etihad Stadium. - AFP