SYDNEY, 22 Disember- Pemain tenis nombor lima dunia dari China, Zheng Qinwen menarik diri daripada pembukaan musim Piala United kerana memerlukan lebih banyak rehat namun Zheng merancang untuk menyertai Terbuka Australia.
Pemain berusia 22 tahun itu berjaya memperoleh satu pingat emas pada Sukan Olimpik di paris selain unggul dengan tiga gelaran perseorangan.
Dia juga membuat final Grand Slam pertamanya, di Melbourne Park, tewas secara straight set kepada pemain nombor satu dunia Aryna Sabalenka.
Zheng memilih untuk berehat lebih lama kali ini menjelang pertandingan utama pembukaan musim pada 12 Januari depan.
"Selepas musim panjang 2024, saya memerlukan beberapa minggu tambahan untuk berehat, pemulihan dan latihan. Ia sebagai persediaan menghadapi musim baharu," tulisnya di Instagram.
"Saya mempunyai masa yang hebat di Piala United pada Januari tahun ini. Saya masih merindui acara itu.
"Namun, saya sangat teruja untuk kembali ke Australia dan saya akan berjumpa anda semua di Melbourne dalam beberapa minggu."
China memulakan kempen Piala United menentang Brazil di Perth pada Jumaat.- AFP