ROM, 23 Disember- Bekas jurulatih Itali, Roberto Mancini, yang membawa pasukan itu menjuarai Euro 2020, mengakui pada Ahad bahawa beliau menyesal meninggalkan pasukan kebangsaan Itali untuk mengendalikan pasukan Arab Saudi.
Mancini meninggalkan Azzurri pada Ogos 2023 untuk mengambil alih pasukan Saudi tetapi dipecat pada Oktober selepas mencatat keputusan buruk sepanjang 14 bulan mengendalikan pasukan itu.
"Jika saya boleh mengulangi masa lalu, saya tidak akan meninggalkan Nazionale (pasukan kebangsaan Itali) kerana menjadi jurulatih pasukan ini adalah perkara paling indah," katanya kepada penyiar awam Rai.
Mancini, yang berusia 60 tahun, menandatangani kontrak bernilai $25 juta setahun dengan Arab Saudi sehingga 2027.
Namun, selepas hanya meraih tujuh kemenangan daripada 18 perlawanan, persekutuan bola sepak Saudi membuat keputusan untuk menamatkan khidmatnya.
Ketika ini, Mancini dikaitkan dengan jawatan jurulatih di Roma pada penghujung musim.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tiada sebarang perbincangan berlangsung, cuma ia melibatkan faktor masa.- AFP