PARIS, 8 Ogos- Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri mara ke pusingan akhir acara terjun tiga meter papan anjal wanita.
Biarpun menjalani persiapan singkat untuk ke Paris, atlet berusia 25 tahun itu masih mampu memberi saingan.
Beraksi di Aquatic Center, Paris, Nur Dhabitah yang membuat penampilan ketiga di Olimpik bermula baik apabila meraih 67.50 mata pada terjunan pertama untuk menduduki tempat kedua.
Namun, beliau gagal mengekalkan aksi konsisten pada terjunan kedua dan ketiga apabila mencatat 55.50 mata dan 46.50 mata untuk jatuh ke kedudukan ke-12.
Terjunan keempat menyaksikan Nur Dhabitah kembali bangkit dengan mencatat 57 mata untuk naik ke tangga ke-10.
Nur Dhabitah meneruskan momentum apabila meraih 60.45 mata selepas menaikkan darjah kesukaran, sekali gus mara ke pentas akhir selepas menduduki tempat kelapan daripada kelompok 12 terbaik yang layak.