KUALA LUMPUR, 6 November- Gandingan penerjun negara, Nurqayyum Nazmi Mohd Nazim-Yong Rui Jie berjaya meraih gangsa pada acara 3 meter papan anjal seirama lelaki pada kejohanan Terjun Terbuka Malaysia pada Ahad.
Pada saingan yang berlangsung di pusat Akuatik Nasional,Bukit Jalil itu menyaksikan gandingan negara itu hanya meraih sebanyak 320.67 mata.
Pingat emas menjadi milik penerjun Uzbekistan, Igor Myalin-Vyacheslav yang mengumpul 335.94 mata.
Manakala pingat perak disambar penerjun Indonesia, Adityo Restu Putra-Tri Anggoro Priambodo dengan mengutip 328.62 mata.
Sementara itu, dalam acara 10 meter platform seirama campuran pula, wakil negara Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj-Jellson Jabilin cemerlang apabila meraih Emas pada aksi akhir itu.
Gandingan berkenaan mempamerkan terjunan kemas dengan meraih mata keseluruhan 266.16.
Kemenangan itu sekali gus mengatasi wakil Sarawak,Jared Aiden Harold-Nurul Farisya Affendi yang meraih pingat perak dengan 197.28 mata.
Dalam pada itu, bagi kategori 3 meter papan anjal wanita, penerjun negara, Kimberly Bong menepati ramalan apabila berjaya meraih emas acara berkenaan.
Atlet berusia 21 tahun itu menampilkan terjunan cemerlang dan kemas pada aksi akhir saingan berkenaan dengan meraih sebanyak 269.40 mata.
Kimberly yang ditemui media selepas penyampaian pingat acara berkata dia menyimpan cita-cita untuk membuat penampilan sulung pada edisi Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.
"Ia bukan menjadi masalah tidak bertanding di Paris 2024. Perjalanan karier masih panjang.
"Jadi sebagai atlet yang baharu, saya perlu tingkatkan prestasi dan bersedia untuk Sukan Olimpik akan datang", kata Kimberly.