fb fb fb fb fb

Piala Agong: Negeri Sembilan pertahan kejuaraan bola keranjang kategori lelaki, wanita

FOTO FB Malaysia Basketball Association

KUALA LUMPUR, 6 November- Pasukan bola keranjang Negeri Sembilan berjaya mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Piala Agong bagi kategori lelaki dan wanita di Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) malam tadi. 

Saingan lelaki menyaksikan mereka unggul menjulang piala berkenaan buat kali keenam berturut-turut bermula 2016, 2017, 2018, 2019 dan 2022, manakala kali keempat berturut-turut bagi kategori wanita. 

Pemain hadapan pasukan lelaki Wong Yi Hao yang memenangi Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) bersyukur apabila pasukannya terus mendominasi kejohanan berprestij itu dengan menumpaskan Johor 87-73 malam ini. 

“Saya berterima kasih kepada pemilik pasukan iaitu Datuk Seri Lee Tian Hock atas segala sumbangan yang diberikan. Walaupun ini kemenangan kali keenam, tetap ada tekanan buat kami,” katanya kepada pemberita.. 

Yi Hao berkata fokusnya selepas ini kepada Liga Malaysia yang akan bermula pada 16 November ini.

Sementara itu, pasukan wanita Negeri Sembilan merangkul gelaran juara apabila mengungguli format round robin dengan melakar lima kemenangan.

Kedua-dua pasukan lelaki dan wanita membawa pulang wang tunai RM18,000. 

ZEHRA BINTI ZAMBRI