KUALA LUMPUR, 6 November- Pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao meraih gelaran Jelajah Dunia kedua buat dirinya selepas menjuarai Kejohanan Badminton Masters Kuala Lumpur 2023, pada Ahad.
Pilihan kedua kejohanan itu mencipta sensasi selepas merakam kemenangan straight set 22-20,21-13 ke atas wakil Taiwan Lee Chia Hao dalam pertarungan 43 minit.
Pada aksi final di Stadium Titiwangsa,pemain kelahiran Kuala Lumpur itu mengawal permainan set pertama dengan mendahului 11-6 sebelum menoktahkan kemenangan ke atas lawannya yang menghuni ranking ke-37 dunia dengan kelebihan dua mata.
Chia Hao cuba bangkit memberikan tentangan pada set kedua, namun beberapa kesilapan di jaring menghukumnya sekali gus mengesahkan kejuaraan menjadi milik Juara Remaja Asia 2017 itu.
Ini merupakan gelaran Jelajah Dunia kedua Jun Hao selepas Masters Indonesia di Malang, Oktober 2021.
Sementara itu, Jun Hao mendedikasi kejayaannya kepada keluarganya dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana mempercayai dan memberi sokongan penuh terhadap dirinya.
"Saya mahu berjuang untuk gelaran juara. Ia sudah pasti memberi tekanan atas apa yang saya lakukan.
"Jadi, saya fokus sehingga mata terakhir", katanya.
Dalam pada itu, beregu campuran profesional negara Chan Peng Soon-Cheah Yee See turut menceriakan kem badminton negara apabila mengatasi wakil Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong dalam perlawanan yang diheret hingga ke set penentuan.
Dalam aksi final beregu campuran itu, Peng Soon-Yee See dipaksa bermandi keringat bagi mencatat kemenangan di set pertama 21-9 namun tewas di set kedua 17-20, sebelum bangkit 21-10 di set ketiga dalam pertarungan 62 minit.
Kejayaan gandingan ranking ke-44 dunia itu sekali gus menamatkan penantian selama enam tahun mereka bergelar juara selepas kali terakhir melakukannya pada 2017 di Terbuka Rusia.