fb fb fb fb fb

Kejohanan BolaKid, platform cungkil bakat muda

Foto RTM

KANGAR, 6 November- Kejayaan pemain bola sepak Perlis United pada Kejohanan BolaKid 9 Sepasukan Bawah-12 tahun merebut Piala Datuk Dr Fathul Bari mendapat perhatian Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD).

Tiga pemain dari Perlis United yang muncul sebagai juara menewaskan wakil Kedah, AS Red Hawk bakal mengikuti latihan di akademi bola sepak berprestij negara itu.

Penaung ABATA Sukan dan Rekreasi yang juga Pengerusi Penganjur Kejohanan BolaKid, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, usaha mengetengahkan bakat baharu menerusi kejohanan BolaKid menjadi platform penting memilih pemain berwibawa dan berkualiti.

"Usaha mencungkil bakat baharu bola sepak akan diteruskan dengan penganjuran lebih banyak kejohanan bola sepak untuk pelbagai peringkat umur agar negeri dan negara tidak ketandusan bakat muda yang mampu bersaing bukan sahaja peringkat negeri malahan mewakili negara," kata Dr Fathul kepada pemberita pada Majlis Meraikan Para Pemain serta barisan kejurulatihan pasukan Perlis United, di sini.

Kejohanan Bolakid anjuran ABATA Sukan dan Rekreasi memasuki edisi ke-4, disertai 28 pasukan bawah 12 tahun dari Perlis dan negeri-negeri di utara tanah air serta selatan Thailand, melibatkan lebih 450 pemain.

Ia menjadi satu hasil daripada setiap program yang  dilaksanakan dan dengan perkembangan yang baik ini sudah semestinya kejohanan seperti ini akan diteruskan.

Kejohanan pada tahun depan dijangka akan lebih meriah, dengan sasaran penyertaan lebih 60 pasukan dari seluruh negara.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM