fb fb fb fb fb

Terengganu FC tewaskan Sri Pahang 2-1

(Pemain Terengganu FC, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim (kiri) dikawal ketat oleh pemain
Sri Pahang FC, Nicholas Swirad (dua, kanan) pada saingan Liga Super Malaysia 2022 malam tadi/BERNAMA)

KUALA NERUS, 4 Julai- Terengganu FC berjaya memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila memungut 3 mata penting selepas menewaskan Sri Pahang FC dengan keputusan 2-1.

Berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, pasukan tuan rumah bermula garang dengan serangan pantas dan berjaya menembusi penjaga gol pelawat Mamadou Samassa seawal minit pertama menerusi Kpah Sherman untuk TFC mendahului 1-0.

Jaringan itu kekal hingga tamat separuh masa.

(Pemain Terengganu FC, Mohamad Faisal Abdul Halim (kanan) bersama rakan sepasukan meraikan kejayaan selepas menyempurnakan
sepakan penalti semasa menentang pasukan Sri Pahang FC pada saingan Liga Super Malaysia 2022 malam tadi/BERNAMA)

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan dan pada minit ke-76 tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti.

Sepakan penalti diambil pemain kebangsaan Faisal Abdul Halim dan berjaya diselamatkan penjaga gol Sri Pahang FC.

Namun pengadil Zulkarnain Zakaria mengesan ada kesalahan oleh Mamadou Samassa dan sepakan penalti terpaksa diambil semula.

Peluang kedua tidak dipersiakan Faisal Halim dangan sepakan cantik menembusi gawang gol, menjadikan kedudukan 2-0.

Bagaimanapun, pada minit ke-87 pelawat berjaya menghukum kelalaian tuan rumah menerusi Abdul Malik Mat Arif menjadikan kedudukan 2-1, dan ia kekal hingga ke wisel penamat.

Terengganu FC kini di kedudukan kelima liga dengan 13 mata daripada 8 perlawanan.

Media Baharu