LONDON, 4 Julai- Bintang tenis Serbia, Novak Djokovic mara ke pusingan suku akhir Wimbledon ke-13 selepas menewaskan pemain Belanda, Tim van Rijthoven.
Djokovic yang turun sebagai pilihan utama kejohanan memburu rekod Pete Sampras sebagai juara tujuh kali menundukkan pemain rangking 104, 6-2, 4-6, 6-1, 6-2.
"Dia lawan yang cukup sukar. Saya tidak pernah berdepan dengannya sebelum ini. Dia mempunyai servis hebat, pukulan padu dan sentuhan menarik," kata Djokovic.
Bagi saingan suku akhir, Djokovic bakal berdepan Jannik Sinner untuk merebut tempat ke pusingan separuh akhir selepas pemain dari Itali itu membenam pemain muda Sepanyol, Carlos Alcaraz.
(FOTO AFP)
Aksi di gelanggang utama dimulai dengan perarakan juara-juara sebagai memperingati ulang tahun ke-100 stadium berkenaan.
Salah seorang daripada mereka ialah juara lapan kali Roger Federer yang tidak beraksi kali ini akibat kecederaan lutut.
"Saya harap dapat kembali sekali lagi. Saya rindu bermain di sini," kata Federer yang bakal mencecah usia 42 tahun.
Kali terakhir dia beraksi di Wimbledon ialah ketika tewas di suku edisi tahun lalu.
Dalam saingan wanita, pemain nombor dua dunia Ons Jabeur kekal di landasan untuk memburu gelaran Slam pertamanya selepas menewaskan pemain Belgium Elise Mertens 7-6 (11/9), 6-4.
Pemain Tunisia itu kini hadir sebagai pilihan utama selepas pemain nombor satu dunia Iga Swiatek tersingkir Sabtu lalu. - AFP