KUALA LUMPUR, 10 Mei- Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub yakin dengan kemampuan barisan pemain muda B-16 tahun negara menjelang kejohanan FIFA Youth Series 2025.
Menurut kenyataan FAM di Facebook memaklumkan kejohanan tersebut bakal berlangsung di Zurich, Switzerland pada 18 hingga 22 Mei ini.
"Kejohanan yang akan berlangsung di Home of FIFA di Zurich itu disertai enam pasukan Bawah 16 tahun (B-16), setiap satu pasukan dari enam benua konfederasi FIFA," kata kenyataan itu.
Terdahulu, Datuk Mohd Joehari meluangkan masa menemui skuad negara B-16 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
Dalam pertemuan tersebut, Datuk Mohd Joehari memberikan kata-kata semangat buat skuad kendalian jurulatih, Javier Jorda Ribera.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Tunisia dan Paraguay manakala Kumpulan A menampilkan tuan rumah Switzerland, New Zealand dan Guatemala.
Skuad negara dijadual memulakan cabaran menentang Paraguay pada 18 Mei (Ahad), sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan bertemu Tunisia, keesokan harinya.