BUKIT JALIL, 30 Jun- Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berjaya mara ke pusingan suku akhir dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2022 selepas berjaya menewaskan gandingan bekas juara Olimpik edisi 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin, 21-17 dan 21-18.
Kemenangan ini sekali gus memperbaiki rekod pertemuan buat gandingan ranking 10 terbaik dunia berkenaan.
Kelebihan beraksi dengan sokongan padu peminat di Arena Axiata, Yew Sin and Ee Yi berjaya menang dengan straight set dalam tempoh 41 minit.
Mereka akan bertemu pilihan keenam kejohanan, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto di suku akhir.
(FOTO BAM)
Turut layak, pasangan beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani.
Namun, keputusan sebaliknya menyebelahi dua pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah dan Valeree Siow-Low Yeen Yuan tewas kepada beregu dari China.
Sementara itu, untuk aksi sebelah pagi menyaksikan dua beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Valeree Siow dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai gagal meneruskan saingan selepas terkandas di pusingan kedua.
Pada aksi tersebut, Tang Jie-Valeree gagal mengulangi aksi cemerlang di pusingan pertama semalam apabila tunduk di tangan pasangan no. 1 dunia dari China, Zheng Si Wei- Huang Ya Qiong dengan straight sets.
Beregu muda negara itu berjaya memberi tentangan di set pertama sebelum tewas 16-21.
Usaha untuk bangkit di set kedua pula tidak berjaya apabila mereka akur dengan mudah 10-21.
Satu lagi wakil campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai turut tewas di pusingan kedua.
(FOTO BAM)
Pasangan profesional negara itu berjaya memberi tentangan sengit kepada beregu dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun sebelum tunduk dengan 21-18, 18-21 dan 17-21.
Untuk aksi petang ini, perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia bakal turun bertemu wakil Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito dan pasangan beregu lelaki negara yang akan bersaing untuk slot ke suku akhir, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong masing-masing berdepan Singapura dan China manakala wakil tunggal beregu wanita, Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing pula akan berdepan pasangan dari Korea Selatan.